Wednesday, July 14, 2010

Pertanian dan Penternakan

Petani, penternak diminta daftar

KUALA LUMPUR: Petani dan penternak diminta mendaftar sebagai ahli Pertubuhan Peladang di kawasan masing-masing bagi memudahkan kerajaan menjalankan pemantauan serta menyalurkan bantuan untuk meningkatkan pendapatan golongan sasaran.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan, berkata hingga kini hanya 780,000 mendaftar sebagai ahli sedangkan mengikut anggaran, jumlah berkenaan hanya mewakili 85 peratus daripada keseluruhan peladang.

"Kita akan meminta Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara mengemas kini data ahli dalam usaha membolehkan kerajaan mendapat maklumat lengkap berhubung jumlah petani yang berjaya serta bilangan yang masih memerlukan bantuan.
"Data lengkap ini dapat membantu kerajaan merangka bantuan bersesuaian yang perlu disalurkan sejajar hasrat menambahkan pendapatan peladang, selain meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negara," katanya selepas memberikan taklimat kepada Pengarah LPP Negeri, di sini.

Beliau berkata, pengemaskinian data menjadi antara pemangkin ke arah meningkatkan pengeluaran produk pertanian lain bukan sekadar besar seperti hasil ternakan ikan, lembu dan kambing, tanaman pelbagai sayuran dan buah-buahan untuk mengurangkan kadar import.

"Kita memerlukan kerjasama dan usaha keras semua ahli di seluruh Negara untuk menggembleng tenaga meningkatkan produktiviti, sekali gus pengeluaran produk pertanian bagi memenuhi keperluan dalam negara.

"Pada masa sama pelbagai usaha juga giat dijalankan untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai bidang pertanian dengan membuka peluang kepada graduan berminat menyertai kursus lanjutan dalam bidang ini," katanya.

Zainal berkata, matlamat memperkasakan Bumiputera dengan mengaplikasikan modul insan antara teras yang digunakan LPP termasuk melaksanakan Program Peluang Kedua iaitu memberi tumpuan kepada peladang yang sebelum ini pernah gagal.
"Jika perlu kita akan bimbing peladang itu dari segi pengurusan atau memberi suntikan modal kerana banyak sebab yang mengakibatkan usaha mereka terbengkalai seperti kekurangan saluran pasaran dan sebagainya," katanya.
( END )

0 comments:

Post a Comment